Pelajar pergigian Jane Ong muncul sebagai juara Cabaran Inovator Belia 2021

Universiti SEGi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pelajar pergigian Tahun 4 Jane Ong Jia Huay kerana berjaya menjuarai Cabaran Inovator Belia 2021 dengan inovasi “Pokit” beliau.

Cabaran Inovator Belia (YIC) telah dianjurkan oleh platform perdagangan sosial MeCan Trade dan disokong oleh GenYouth. Ia bertujuan untuk memperkasa dan menggalakkan pelajar universiti dan kolej untuk menyelesaikan masalah global melalui idea perusahaan yang inovatif dan mampan.

Pada pusingan pertama YIC 2021, 20 peserta teratas telah dipilih dan diberi geran untuk menghasilkan prototaip mereka. Kemudian, peserta terpilih bersaing untuk Top 5 serta berpeluang mendapatkan pelaburan untuk inovasi mereka.

Pada pusingan akhir, produk “Pokit” Jane dinilai oleh para pengadil sebagai inovasi terbaik dan diberi ganjaran wang tunai bernilai RM5,000 sebagai dana untuk penambahbaikan prototaipnya.

“Pokit” ialah alat simpan mempunyai pelbagai fungsi yang bertindak sebagai sarung telefon, cermin, pemegang pelitup muka dan beg pouch atau pemegang kad. Ia merupakan satu penyelesaian untuk orang ramai dalam menjaga kebersihan pelitup muka mereka dalam situasi seperti menerima rawatan pergigian atau makan di restoran.

Selain itu, Jane turut memanfaatkan pemikiran inovatif dan kemahiran pembentangan beliau di YIC 2021. Beliau aktif dalam Kelab Antarabangsa Metro Toastmasters, sebuah platform untuk meningkatkan kemahiran komunikasi dan kepimpinan, dan kini beliau telah berjaya mencapai sehingga Penguasaan Pembentangan – Tahap 5.

Spread the love