Dekan University of Central Lancashire Melawat SEGi

Kolej & Universiti SEGi telah menyambut mesra kedatangan Dekan University of Central Lancashire (UCLan) dalam lawatan selama dua hari beliau ke Universiti SEGi.

Lawatan Dekan Perniagaan UCLan,  Prof. Robin Carey adalah bertujuan untuk mengukuhkan  lagi hubungan antara kedua-dua universiti. Beliau telah bertemu dan bersalaman dengan bahagian pengurusan kanan SEGi, naib canselor dan timbalan naib canselor sebelum menuju ke kampus.

Sebelum memikul tanggungjawab sebagai dekan, beliau pernah memegang pelbagai jawatan lain yang termasuklah Pengarah Perancangan Akademik dan Pemasaran, Ketua Pusat Pengajian Perniagaan, Ketua Bahagian dan Ketua Kursus di UK. Beliau juga telah menerbitkan beberapa jurnal selain merupakan seorang ‘Pakar Perniagaan’ yang sering dijemput untuk menyuarakan pendapat dalam rancangan TV, radio, laman web dan akhbar.

Sepanjang kunjungannya ke SEGi, antara aktiviti yang dilakukan Prof. Carey ialah memerhati proses peperiksaan, mengadakan bengkel bersama pensyarah, melihat proses penilaian dan menjadi pensyarah jemputan untuk pelajar sarjana.

Kerjasama yang terjalin antara SEGi dan UCLan menyaksikan perkongsian kepakaran dalam aspek penilaian, peperiksaan, sukatan pelajaran, tambah nilai program ijazah dan pelbagai lagi. Usaha yang dilakukan ini dapat membantu meningkatkan  kebolehpasaran pelajar.

University of Central Lancashire merupakan salah sebuah universiti terbesar di UK dengan 25,000 orang pelajar. UCLan menawarkan lebih 400 program sarjana muda dan 200 kursus pasca siswazah. Universiti ini berada pada kedudukan tujuh teratas dalam  Centre for World University Ranking 2021-22.