2 Februari 2008 merupakan tarikh penuh bersejarah buat Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd dan Kumpulan Kolej SEGi atas termeterainya perjanjian persefahaman antara kedua-dua pihak untuk menubuhkan Dana Pendidikan Karangkraf-Kolej SEGi.
Dana Pendidikan dan Pembangunan Kerjaya Karangkraf memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk membiayai 100% yuran peningkatan kemahiran orang ramai, khususnya pembaca setia penerbitan Kumpulan Karangkraf dalam kursus-kursus akademik yang ditawarkan oleh SEGi. Menurut perjanjian tersebut, peruntukan tahunan oleh Karangkraf adalah sebanyak RM1juta setahun untuk jangkamasa 10 tahun.
Dana hasil gandingan kedua-dua institusi terkemuka tersebut selaras dengan saranan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk membangunkan modal insan seiring dengan pembangunan negara. Justeru Dana ini akan meningkatkan lagi taraf pendidikan dan kemahiran rakyat Malaysia untuk menerajui program-program pembangunan negara ke arah mewujudkan sebuah negara maju menjelang tahun 2020.
Perjanjian dua hala yang dilangsungkan di Kolej SEGi, Kota Damansara ditandatangani oleh Pn. Firdaus Dato' Hussamuddin–Penerbit Eksekutif Kumpulan Karangkraf dan Pn. Ailin Ton Dato' Isahak–Pengarah Pembangunan Perniagaan Kumpulan SEGi dan disaksikan oleh Y. B. Datuk Mustapa Mohamed, Menteri Pengajian Tinggi , Malaysia . Turut hadir pada majlis tersebut ialah Y. Bhg. Datuk Pahamin A. Rajab–Pengerusi Kumpulan SEGi dan Y. Bhg. Datuk Hussamuddin Yaacub–Pengarah Urusan Kumpulan dan Penerbit Kumpulan Karangkraf.
Dana ini terbuka kepada warganegara Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama. Pelaksanaan Dana ini adalah salah satu cara untuk Karangkraf dan Kolej SEGi untuk menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat dengan mengutamakan pembangunan pengetahuan dan kemahiran para belia masa kini.
Dana Pendidikan Karangkraf-Kolej SEGi ini merangkumi pembiayaan bagi setiap program yang diambil oleh para scholars Karangkraf dalam jurusan akademik seperti Perakaunan, Kejuruteraan, Seni Kreatif, Pengurusan Hotel dan Pelancongan di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda 3+0 dengan kerjasama universiti bersekutu SEGi.
Dana yang dilancarkan tidak hanya memberi tumpuan kepada mereka yang ingin meningkatkan diri dalam bidang akademik sahaja. Peluang juga terbuka kepada mereka yang berminat dalam bidang vokasional. 10 program latihan yang akan ditawarkan termasuk Pelukis Pelan Kejuruteraan Awam, Juruteknik Sistem Komputer, Perekabentuk Multimedia, Pereka Grafik, Kerani Tempahan, Pemandu Pelancongan, Penyedia Makanan, Kapten Makanan dan Minuman, Penyelia Kaunter Hadapan dan Mekanik Kenderaan Bermotor. |